Thursday, March 21, 2013

Telur Lalat...


Sudah hampir dua tahun aku menghabiskan masa belajar di universiti ini dan sudah hampir dua tahun juga, aku menginap di kolej Za'ba ini. Terasa inilah rumah keduaku selain kampung halamanku. Pelbagai peristiwa pahit manis yang dapat aku dan rakan-rakanku cipta bersama. Kami akan bersama-sama termasuklah membeli makanan. walaupun banyak kedai-kedai di luar kolej bagi kami kafe di kolej sudah cukup membuat kami terliur dengan aroma masakannya. Tambahan pula rumah yang kami diami bersebelahan dengan kafe.

          Setiap hari, kami seperti biasa akan turun membeli makanan di kafe. Hendak dijadikan cerita, pada hari itu aku teringin sangat makan ayam goreng berempah. Tiba-tiba gerai tempat aku membeli ayam berempah itu tutup. Aku berasa sangat hampa. Rakanku menyarankan supaya aku membeli ayam tersebut di gerai sebelah. Aku dengan berat hati cuba melihat-lihat sama ada ayam berempah itu ada di gerai tersebut.

          Pada mulanya aku seperti tidak berselera untuk membelinya, kerana pada waktu itu aku lihat banyak lalat berterbangan di atas makanan yang terdedah itu. Aku tiba-tiba hilang selera pada ketika itu. Akhirnya dengan pujukan rakan-rakanku, aku membeli juga ayam tersebut kerana mereka tahu aku amat menggemari ayam berempah seperti itu.

         Setelah membeli aku dan rakan-rakan masing-masing pulang ke rumah. Aku dan rakan-rakan berkumpul dan makan bersama. Kami berbual-bual semasa makan. Sedang asyik memhabiskan ayam kegemaranku. Tiba-tiba rakanku menegur aku dan menunjukkan sesuatu pada ayam yang kumakan. Aku pun membelek-belek ayam yang kumakan. Tiba-tiba aku lihat ketulan-ketulan putih pada ayam itu. Tekakku  mula loya. Rupa-rupanya, ketulan putih itu ialah telur lalat. Aku hilang selera selepas itu. 

Pengajaran

Sebelum memilih sesuatu kita perlu memerhati barang atau benda yang kita mahu supaya kita tidak membeli barangan yang rosak atau kotor. Tambahan pula, dalam memilih makanan kita lebih perlu berhati-hati. Orang yang berniaga juga perlu menjaga kebersihan tempat supaya pelanggan yang datang lebih selesa untuk memilih makanan. Gerai makanan yang kotor akan menyebabkan pelanggan yang membeli makanan tersebut berkemungkinan akan terkena keracunan makanan.

       

No comments:

Post a Comment