Friday, April 5, 2013

Tidak Beradab...

Hari ini aku akan menceritakan pengalamanku ketika berada di tempat menunggu kereta api. Hari itu, aku mahu pergi melawat anak saudaraku yang berada di Petaling Jaya. Aku tidak mahu menyusahkan mereka untuk mengambilku di Tanjung Malim ini. Untuk ke stesen kereta api aku menelefon khidmat teksi untuk membawaku ke sana.

          Tiba di stesen kereta api, aku terus pergi ke kaunter tiket yang disediakan. Barangan dan beg yang kubawa diletakkan dahulu di sudut tepi kaunter berkenaan. Sedang aku mengeluarkan beg duit dari beg galasku tiba-tiba ada seorang wanita melintas barisanku. Aku terkejut dan memandangnya dengan marah. Tetapi wanita itu berpura-pura tidak perasan akan aku. Aku malas untuk bergaduh dan membiarkannya sahaja. 

          Sepuluh minit kemudian, tiba gilirannya untuk membeli tiket. Aku menunggu agak lama untuk dia berurusan dengan petugas di kaunter. Telinga aku menangkap perbualan mereka. Rupa-rupanya tiket untuk ke tempat yang ingin ditujuinya telah habis dijual. Dia pergi dengan muka yang marah dan mengomel sendirian. Dia berpaling dan menjeling ke arahku. aku hanya tersenyum.

Pengajaran
Kita perlu menjaga adab kita walau di mana kita berada. Tidak semua  orang akan bertolak ansur jika berlaku perkara sedemikian di situasi dan orang yang berbeza. Hal ini akan menimbulkan salah faham dan persengketaan. Jika kita melakukan kesilapan kita perlu meminta maaf supaya tidak berlaku persengketaan.
Sikap suka memotong barisan adalah perbuatan yang tidak baik dilakukan. Kita perlu hormat hak orang lain.

Pentingnya Notis Pemberitahuan...

Minggu ini adalah minggu yang agak sibuk untuk aku. Aku perlu menyiapkan semua tugasan sebelum pulang ke kampung halaman kerana hujung minggu ini merupakan cuti pertengahan semester. Semangat menyiapkan tugasan semakin meningkat kerana aku tidak mahu cutiku nanti dihabiskan dengan menyiapkan tugasan yang terbengkalai. Minggu ini jugalah kolej kediamanku mengadakan hari terbuka. Oleh itu, keadaan di kolej adalah tidak sesuai untuk membuat tugasan kerana sangat bising.

          Pada suatu petang, dua orang rakan serumahku sedang membuat tugasannya di ruang tamu di rumah kolej kediamanku. Tiba-tiba terdengar ketukan dari luar rumahku. tanpa ragu-ragu rakanku terus membuka pintu tersebut. Alangkah terkejutnya dia, apabila yang berdiri di hadapannya ialah seorang lelaki. Dia cepat-cepat masuk ke dalam dan menutup pintu untuk memakai pakaian yang lebih sopan. rupa-rupanya lelaki tersebut mahu memasang 'modem' Wifi di dalam rumah kami. Kami tidak diberikan sebarang notis pemberitahuan tentang perkara ini.

         Aku dan rakan sebilikku kebetulan pada masa itu sedang bersembang di dalam bilik. Tiba-tiba rakanku keluar untuk ke tandas. Hampir-hampir dia melanggar tangga di hadapan pintu bilik kami. Rakan kami di luar bilik memberi isyarat dan menyuruhnya untuk masuk semula. Dia tidak faham sehingga dia terdengar suara lelaki di hadapan pintu rumah. Cepat-cepat di masuk semula ke dalam bilik dan mengenakan pakaian yang lebih sopan.

Pengajaran

Sepatutnya pihak kolej perlu memberi pelajar notis pemberitahuan supaya pelajar boleh bersedia lebih awal. Jika tidak diberikan sebarang notis akan menyebabkan perkara seperti ini berlaku sekali lagi. Perkara ini ini tidak boleh diambil mudah sekiranya hanya seorang pelajar perempuan di dalam rumah pada masa itu, mungkin akan jadi sesuatu yang tidak elok. Oleh itu, notis pemberitahuan jika mahu melakukan penyelenggaraan perlu diberitahu sebelum itu.

Tak Hormat...

Pada hari rabu lepas, aku menghadiri satu seminar berkaitan dengan penggunaan pencarian Google dan Khidmat Pesanan Ringkas. Aku merupakan pelajar yang datang agak lewat kerana sebelum itu aku mempunyai kelas di kampus baru. Seminar ini pula diadakan di kampus lama. Masa yang diambil untuk ke kampus lama agak lama dan menyebabkan aku terlewat untuk sampai ke seminar tersebut.

          Sampai di kampus lama aku terus ke dewan di bangunan E-Learning. Aku cepat-cepat menaiki lif ke tingkat lima. Nasib aku baik kerana ketika aku sampai, seminar tersebut belum berlangsung. Aku lihat kerusi di dalam dewan telah tersebut telah penuh. Aku diarahkan untuk mengambil kerusi di luar dewan tersebut. Lima minit kemudian penceramah mula memberikan ceramahnya.

         Seminar tersebut dianggarkan akan habis selepas dua jam. Aku diwajibkan hadir pada hari itu kerana soalan kuiz akan diberikan semasa sesi pembentangan berlangsung. Oleh itu, kami perlu fokus untuk mendengar setiap penerangannya. setengah jam yang pertama, seminar tersebut berlangsung dengan lancar. Tiba-tiba aku terlihat sekumpulan pelajar duduk di dalam bulatan sambil bersembang dan ketawa dengan kuat. Mereka bukan sahaja berbuat bising tetapi juga membawa makanan ke dalam dewan. Akhirnya datang seorang pensyarah menegur mereka dan barulah mereka diam.

Pengajaran

Jika kita hadir dalam satu majlis, kita perlu menghormati orang yang sedang memberi penerangan  di hadapan.  Tidak elok sekiranya kita berbuat bising kerana kita akan mengganggu orang lain yang mahu mendengar penerangan tersebut dengan baik. Jika kita tidak hormat orang yang sedang bercakap di hadapan kita akan menyakiti hatinya. Sekurang-kurangnya diam dan beri perhatian.

Thursday, April 4, 2013

O.K.U...

Hari Sabtu merupakan hari di mana pelajar akan berpusu-pusu ke pasar malam di pekan Tanjung Malim. Aku juga tidak ketinggalan untuk mengunjungi pasar malam itu. Terdapat banyak gerai yang dibuka dan pelbagai jenis jualan yang dijual di gerai itu.

          Aku terliur dengan pelbagai jenis makanan di sepanjang gerai di pasar malam itu. Aku meninjau-ninjau makanan untuk makan malam hari ini. Bau aroma masakan menyebabkan aku tidak tahu mana satu makanan yang akan aku beli. Tiba-tiba, di tengah-tengah orang ramai aku lihat seorang wanita meriba anaknya yang sedang tidur. Anaknya masih kecil dan tidak berpakaian hanya sehelai kain batik membaluti tubuhnya. Aku mendekatinya dan memberinya sedikit makanan dan wang. aku sangat kasihan melihatnya.

          Aku berlalu dari situ dengan perasaan yang sedih melihat kejadian itu tadi. Tidak sampai beberapa langkah aku berjalan aku ternampak lagi seorang lelaki yang kehilangan kaki kirinya juga berada di tengah-tengah orang ramai memohon simpati. Aku meneruskan lagi langkah kakiku dan terlihat lagi seorang lelaki yang sudah tua memakai pakaian yang compang-camping di satu lorong. Aku berasa sangat terkejut kerana terlalu ramai lagi orang yang tidak berkemampuan di sekitar sini.

Pengajaran 

 Aku pernah mendengar ada cerita tentang peminta sedekah yang berpura-pura tidak berkemampuan sedangkan dia masih mampu untuk mencari rezeki yang lebih baik. seharusnya kita sebagai masyarakat yang berkemampuan perlu memberi bantuan dan sokongan kepada golongan yang tidak mampu seperti ini. walaupun begitu jika seseorang itu masih mampu untuk mencari rezeki yang lebih baik, mereka perlulah berusaha mendapatkannya.

Berhati-hati

Pada Sabtu lepas aku pergi ke pekan untuk membeli sedikit barangan keperluanku. Hari itu, aku menunggu bas di tempat biasa. Lama aku menunggu sehingga aku rasa mengantuk dan hampir terlelap di tempat menunggu bas itu. Entah mengapa hari itu pelajar tidak ramai menunggu seperti biasa. Aku berasa hairan kerana setiap hari sabtu akan ada ramai pelajar ke pekan tanjung malim.

          Setelah hampir satu jam menunggu, aku berasa sangat-sangat letih. Tiba-tiba aku terlihat ada sebuah teksi berada di seberang sana. Aku nekad dan malas untuk menunggu lebih lama. Aku pun mempercepatkan langkahku menuju ke teksi tersebut. Dari dalam kereta, aku tidak perasan akan muka pemandu itu. Pemandu itu menurunkan cermin kereta dan bertanyakan tempat yang ingin aku tujui. Aku berasa sangat terkejut kerana pemandu tersebut seperti tidak terurus.

          Aku memasuki teksi itu dengan perasaan yang takut dan serba salah. Pemandu tersebut menghidupkan enjin dan mula menekan pedal kereta. Aku berasa sangat takut kerana kereta yang dipandu terlalu laju. Tiba di satu persimpangan pemandu tersebut membrek teksi dengan mengejut. Aku terdorong ke hadapan. muka aku pada masa itu sangat pucat. Pemandu itu meneruskan pemanduannya semula tanpa mengucapkan maaf kepadaku kerana perbuatannya tadi. Akhirnya aku sampai ke destinasi dengan selamat.

Pengajaran

Sebagai seorang pemandu yang membawa nyawa orang lain bersamanya, dia harus berhati-hati ketika memandu. dia tidak boleh memandu mengikut nafsu tanpa memikirkan keselamatan penumpangnya. Hal ini juga perlu dielakkan oleh pemandu bas, kerana pemandu bas membawa lebih ramai nyawa bersamanya.