Tuesday, March 12, 2013

Dialekku... Dialekmu...


Sudah pasti anda semua pernah merasakan pengalaman berada dalam situasi sebuah perkahwinan. Pada suatu malam, aku dan rakanku telah berbual-bual tentang perkembangan diri antara satu sama lain. Tanpa diduga topik perkahwinan muncul dalam perbualan kami. Aku tertanya-tanya bagaimanakah cara atau adat perkahwinan di negeri rakanku. Kebetulan tempat kelahiran kami tidak sama kerana rakanku berasal dari Kelantan. Aku mula teruja kerana rakanku sudi untuk berkongsi ceritanya kepadaku.
            Rakanku menceritakan suasana adat istiadat perkahwinan di negeri mereka. Sudah pasti terdapat perbezaan dan persamaan adat perkahwinan di negeri kami.  Perkataan pertama yang aku belajar daripada rakanku ialah “bekwoh”. Menurut rakanku “bekwoh” ialah kerja besar ataupun orang kampung bergotong-royong untuk majlis perkahwinan. Di negeri aku juga orang-orang kampung akan datang bergotong–royong untuk majlis perkahwinan tetapi di negeri kami dikenali sebagai “rewang@gejobos”. Seterusnya ialah perkataan “sisa” yang bermaksud buah tangan untuk tetamu yang hadir. Di negeri kami juga ada menyediakan tetamu buah tangan yang dikenali sebagai “berkat”.
            Aku juga belajar adat yang baru dari rakanku iaitu “adat mengenal”. Menurut rakanku adat ini ialah pihak pengantin lelaki akan berkenalan dengan pengantin perempuan dengan memberikan sedikit duit mengikut kemampuan pihak lelaki. Menurut rakanku lagi adat ini hanya dilakukan oleh sesetengah keluarga. Adat ini tidak dilakukan di negeriku. Ini adalah salah satu perbezaan adat negeriku dengan negeri rakanku.


Pengajaran
Walaupun dalam kalangan rakan kita terdapat pelbagai kaum, agama dan budaya, tetapi tidak salah andainya kita belajar tentang diri mereka. Dengan adanya perkongsian cerita dapat menambahkan lagi pengetahuan kita tentang raka-rakan dan belajar sesuatu yang baru.

No comments:

Post a Comment