Saturday, March 16, 2013

Monyet di dalam Rumah???

Monyet??? Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa monyet menjadi isu aku kali ini. Harus diingatkan haiwan ini bukan lagi menjadi satu keanehan apabila haiwan ini tidak lagi berkeliaran di kawasan hutan tetapi berkeliaran di kawasan kediaman manusia. Menjadi tanda tanya bagaimana haiwan ini boleh sampai di kawasan yang telah didiami oleh manusia. Perkara ini amat membimbangkan manusia yang tinggal di kawasan berkenaan.

          Perkara ini berlaku pada minggu lepas, apabila gempar monyet memasuki rumah pelajar di sekitar kolej kediaman UPSI. Aku mengetahuinya apabila ada pelajar yang memuatnaik gambar monyet memasuki rumah pelajar. Hal ini tidak lagi menjadi isu yang baru kerana pada semester lepas juga ada berlaku kejadian ini.

          Perkara ini amat menjadi tanda tanya bagaimanakah monyet itu memasuki rumah? Melalui pintukah? Melalui tingkapkah? Tetapi bagaiman seekor monyet boleh membuka tingkap atau pintu jika dikunci dari dalam? Setelah diselidik, rupa-rupanya pelajar berkenaan tidak menutup tingkap biliknya sewaktu keluar daripada rumah. Barang-barang makanan habis diselongkar dan bilik bersepah apabila mereka pulang ke rumah.

Pengajaran

Haiwan yang bergelar monyet ini tidak boleh dipersalahkan sekiranya kita sendiri yang cuai dan lalai untuk menjaga keselamatan sendiri. Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya kita mengambil berat tentang keselamatan dan sentiasa berwaspada sebelum perkara seperti ini berlaku. Mungkin monyet masih tidak menjadi masalah bagi mereka tetapi bagaimanakah sekiranya manusia atau lebih dikenali pencuri atau perompak yang memasuki rumah anda? Bagaimanakah reaksi anda pada masa itu? Oleh itu, utamakan keselamatan diri dan orang yang terdekat dengan anda. Walaupun bukan untuk orang lain, sayangilah diri anda.

No comments:

Post a Comment